Jom Klik-Klik

Friday, July 18, 2014

"Hari ini adalah hari tragik untuk tahun yang tragik buat Malaysia" #MH17

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (tengah) bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kiri) dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman ketika mengadakan sidang media khas berhubung insiden pesawat MAS MH17 yang terhempas di Ukraine. 
SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Bangunan Pengurusan Penerbangan (FMB) Malaysia Airlines (MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini untuk mendapatkan perkembangan terkini insiden pesawat MH17 yang dilaporkan terhempas di Ukraine.
Beliau tiba di bangunan terbabit kira-kira jam 1.20 pagi untuk mendengar taklimat berhubung kejadian tersebut. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat Malaysia mendoakan semua penumpang dan kru pesawat MH17 yang terhempas di timur Ukraine.

"Hari ini adalah 'hari tragik untuk tahun yang tragik buat Malaysia', saya tak boleh bayangkan apa yang akan berlaku," katanya. 
Beliau berkata demikian pada sidang media khas insiden pesawat MH17 terhempas di sini, sebentar tadi.
Malaysia berikrar akan menyiasat secara terperinci punca yang menyebabkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 terhempas di Ukraine, walaupun pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat komersial itu ditembak jatuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sekiranya pesawat itu benar-benar ditembak jatuh, Malaysia akan mendesak agar pihak yang bertanggungjawab melakukannya dibawa ke muka pengadilan dengan segera.  

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Panglima ATM Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin tiba beberapa minit kemudian untuk menyertai taklimat bersama Perdana Menteri. 

Walaupun butiran berhubung insiden masih belum diperolehi namun Perdana Menteri dijangka akan mengadakan sidang media mengenainya selepas taklimat tersebut.

Untuk rekod, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman kini berada di Beijing berhubung urusan kehilangan pesawat MH370.

Pesawat MH370 dengan 239 penumpang dan anak kapal, hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas dan dikhuatiri berakhir di selatan Lautan Hindi. 

sumber:BERNAMA

2 comments:

  1. Sedih memg sedih thn ni terlalu byk peristiwa sedih Malaysia alami

    ReplyDelete
  2. memang sedih asha..macam-macam terjadi kat Malaysia ketika ini.. takut pun ada jgak ni

    ReplyDelete