Jom Klik-Klik

Friday, August 15, 2014

Bunuh Pegawai Ambank: Pembunuh Dihukum Mati, Minta Maaf Pada Keluarga Mangsa

La Ode
Pembunuh Norazita
SHAH ALAM – Pengawal keselamatan warga Indonesia dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah terhadap tuduhan membunuh kakitangan Ambank, Norazitta Abu Talib, 37, di Subang Jaya, tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim, Datuk Akhtar Tahir terhadap La Ode Ardi Rasila, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes.

La Ode juga turut dijatuhi hukuman mati terhadap tuduhan kedua iaitu melakukan rompakan dengan menggunakan senjata api.
Dalam ringkasan penghakimannya, Hakim Akhtar berkata, tertuduh telah sengaja melepaskan tembakan ke arah mangsa untuk melakukan rompakan.
“Keterangan tertuduh yang menyatakan bahawa dia tidak tahu dengan hanya pam senjata api itu, tembakan telah dilepaskan,” katanya.
Berdasarkan keterangan pakar senjata api, tiga perkara yang perlu dilakukan sebelum melepaskan tembakan iaitu pam senjata, letak pin ke arah “fire”dan tekan picu.
“Dengan keterangan tersebut, saya tidak dapat menerima keterangan tertuduh dan tanpa sebarang keraguan menunjukkan bahawa tertuduh telah melepaskan tembakan secara sengaja dan penuh pengetahuan,” katanya.
Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jelas menunjukkan tertuduh melepaskan tembakan.
“Pada pengamatan saya, tertuduh telah mengarahkan senjata ke arah mangsa sebelum menembak. Kalau dia hendak pam senjata tersebut untuk menarik perhatian, tertuduh boleh mengarahkan senjata ke arah lain,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan, La Ode, dituduh membunuh Norazitta antara jam 6.00 petang hingga jam 6.30 petang di Bangunan Ambank, Jalan USJ Sentral, Subang Jaya pada 23 Oktober 2013.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Dia juga turut didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diwakili oleh Ketua Pendakwa Negeri, Mohd Azari Haron bersama Timbalan Pendakwa Raya, Asyraf Md Kamal manakala peguam, S Selvi dilantik oleh Kedutaan Indonesia untuk mewakili La Ode.
Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan La Ode yang diwakili oleh peguamnya memohon maaf kepada keluarga mangsa, kakitangan Ambank yang trauma dengan kejadian itu serta syarikat keselamatan yang telah dibatalkan lesennya serta merta disebabkan kejadian tersebut.
“Anak guam saya benar-benar sudah insaf,” katanya.
Seramai 24 saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang prosiding itu berlangsung sejak 24 Jun lalu. Sinar Harian

3 comments:

  1. alhamdulillah dia mendapat ganjaran atas perbuatannya, setiap manusia tak lari dari dosa kecil dan besar.. syukur juga dia dah insaf... semoga arwah Norazitta tenang disana :)

    ReplyDelete
  2. akhirnya ini bayaran dan ganjaran atas perbuatan beliau...

    ReplyDelete
  3. manusia boleh hilang pertimbangan bila berkaitan dengan duit..

    ReplyDelete