Jom Klik-Klik

Friday, August 22, 2014

Alfatihah #MH17

MH17
Alfatihah dan takziah kepada keluaga MH17.. tabahlah dalam menghadapi ujian Allah.. sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada Nya jugaklah kita kembali..
Putrajaya: Solat jenazah hadir dan ghaib bagi mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang beragama Islam akan dilakukan serentak di seluruh negara selepas solat Jumaat hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, solat jenazah hadir khusus bagi masjid yang menerima jenazah beragama Islam untuk disolatkan pada waktu ketibaan jenazah di destinasi pengebumian.
Menurutnya, bagi solat jenazah ghaib, ia boleh diadakan sebaik saja mendengar maklumat jenazah sudah dimandi dan dikafankan.
“Bagi jenazah yang dipersetujui pihak keluarga untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Presint 20 Putrajaya, solat jenazah hadir akan diselaraskan di Masjid Putra, Putrajaya.
Setakat ini dua jenazah akan dikebumikan di Putrajaya.
“Sementara itu, bagi jenazah Muslim yang dibawa terus ke negeri masing-masing, jenazah disolatkan di peringkat negeri dan permukiman,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Katanya, pasukan pengurus jenazah Muslim bagi rakyat Malaysia yang terdiri daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) sudah selamat memandi dan mengkafankan serta menyembahyangkan (solat jenazah) seramai 11 jenazah Muslim di Amsterdam.
Jamil Khir berkata, JAKIM bersama Jabatan Agama Islam Negeri berkaitan berperanan sepenuhnya untuk pengurusan solat jenazah dan urusan pengebumian jenazah Muslim sehingga majlis selesai.
Berikutan itu, katanya, JAKIM menyediakan dua imam pengiring bagi setiap jenazah Islam untuk membantu menguruskan solat jenazah, bacaan talkin dan tahlil.
“Pada masa sama, semua masjid di seluruh negara dipohon mengadakan solat jenazah ghaib serentak selepas solat Jumaat.

Di peringkat negara, solat jenazah ghaib diadakan secara langsung di Masjid Putra, di sini dan semua masjid digalakkan mengadakan majlis tahlil selepas solat jenazah diadakan.
“Untuk makluman, cara melakukan solat jenazah ghaib sama seperti solat jenazah biasa, cuma berbeza pada niatnya saja.
Solat sunat jenazah ghaib boleh dilaksanakan berdasarkan kaedah menunaikan solat ghaib dianjurkan dalam Islam dan maklumat lanjut boleh dirujuk di www.islam.gov.my,” katanya.
Justeru itu, Jamil Khir berkata, rakyat Malaysia yang beragama Islam diseru untuk menunaikan solat jenazah ghaib di masjid peringkat negeri dan komuniti.
“JAKIM juga menyediakan teks khutbah khas sempena solat Jumaat dan diharapkan masjid dan surau dapat menggunapakai teks khutbah disediakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment